Tuesday, 22 January 2013

Banyak manakah susu formula yang diperlukan oleh bayi?

Semasa memberi susu formula kepada bayi, salah satu perkara yang amat mengelirukan ialah bagaimana hendak menentukan jumlah susu yang diperlukan olehnya. Tiada jawapan yang pasti untuk soalan ini – ia berdasarkan kepada usia bayi anda, berat badannya dan sama ada anda menyusukan dia dengan susu formula sahaja atau mencampurinya dengansusu badan atau makanan pejal. Di sini diberikan beberapa panduan untuk membantu anda menentukan jumlah susu formula yang diperlukan oleh bayi anda: 

Darabkan berat bayi anda dengan 2.5-2.7 auns formula

Jika bayi anda tidak mengambil sebarang makanan pejal (umur yang disarankan untuk mula makan makanan pejal ialah enam bulan), perkiraan yang biasa dipakai bagi menentukan jumlah susu formula ialah 2.5-2.7 auns (oz) bagi setiap per paun (lb) berat badan. Jadi jika berat bayi anda ialah 6lb, dia perlu minum susu formula sebanyak 15 atau 16 auns dalam tempoh 24 jam. Jika beratnya ialah 10lb, dia harus minum susu lebih kurang 25-27 auns dalam jangka masa 24 jam. 
Sila ambil perhatian: perkiraan yang biasa dipakai ini tidak begitu tepat untuk digunakan bagi ukuran metrik. 

Harap ingat bahawa perkiraan yang disarankan ini merupakan garis panduan am, dan doktor keluarga atau pakar pediatrik anda boleh menasihatkan anda mengenai jumlah susu formula secara betul bagi bayi anda semasa ia membesar. Selain itu, garis panduan ini tidak boleh digunakan untuk bayi pramatang atau bayi yang dilahirkan kurang berat –jadi, mintalah nasihat daripada doktor anda sekiranya bayi anda termasuk dalam salah satu daripada dua kategori ini. 

Mengambil kira usia bayi anda

Jumlah susu formula yang diperlukan oleh bayi anda bukan hanya bergantung kepada beratnya sahaja, tetapi juga usianya. Jangan harap bayi yang baru lahir (atau mana-mana bayi) mengikuti jadual tertentu atau sesuatu yang berasaskan matematik. 

Untuk bayi yang baru lahir, cuba berikan hanya 30-60ml (2 auns) susu formula setiap kali dia menyusu pada minggu pertama. Apabila bayi anda berusia satu bulan, dia mungkin akan mengambil 90-120ml / 3 atau 4 auns setiap kali dan akan mengambil 400-800ml / 14-28 auns sehari. Tidak lama nanti anda akan tahu sama ada bayi anda mahu jumlah yang lebih – dia akan menghabiskan botolnya dengan cepat dan akan meminta lagi! 

Dari usia dua bulan sehingga usia enam bulan, anda perlu memberikan bayi anda sebanyak 120-180ml / 4-6 auns setiap kali dia menyusu, dan ini bermakna dia mengambil dari 700ml sehingga lebih dari 1 liter / 23-35 auns, dalam masa sehari. 

Apabila bayi anda mencecah usia enam bulan, anda boleh memberinya di antara 180-220ml / 6-8 auns setiap kali dia menyusu, dan dia seharusnya mengambil lebih kurang 900ml / 32 auns formula setiap hari. 

Apabila anda mula menambah makanan pejal ke dalam dietnya, jumlah susu formula yang diambilnya perlu dikurangkan secara berperingkat sehingga kira-kira 720ml / 24 auns. Agensi Piawaian Makanan UK menyarankan bahawa apabila bayi anda telah membiasakan diri dengan makanan pejal (mengambil tiga hidangan sehari), dia seharusnya mengambil kira-kira 600ml / 20 auns atau satu pain susu formula sehari bersama pelbagai makanan lain sehingga usianya satu tahun. Selepas usia satu tahun, dia boleh bertukar dari formula ke susu lembu penuh krim. 

Ingatlah bahawa ini hanya merupakan garis panduan am sahaja, dan anda akan mendapat tahu dari bayi sama ada dia mendapat terlalu banyak atau terlalu sedikit susu formula. Jika anda tidak pasti, sila bercakap dengan doktor anda. 

Jangan menggantikan susu formula dengan makanan pejal terlalu awal

Apabila anda memperkenalkan makanan pejal kepada bayi anda pada usia kira-kira enam bulan, susu badan atau susu formula masih merupakan nutrisi utamanya sehingga dia berusia setahun. Semasa bayi sedang membiasakan diri dengan makanan pejal (maksudnya bayi anda mengambil makanan pejal kurang daripada tiga kali sehari atau tidak makan banyak setiap kali), pada masa ini kebanyakan bayi tidak mendapat makanan pelbagai yang secukupnya untuk memenuhi keperluan nutrisinya. Pada peringkat ini, pengambilan susu formula setiap hari sepatutnya di sekitar 720ml / 24 auns. Elakkan jus yang tidak mempunyai nutrisi yang sama dengan susu formula. 

Bayi andalah yang akan membimbing

Semua bayi bukan mempunyai selera yang sama dan kebanyakan bayi bertukar selera dari hari ke hari dan bulan ke bulan. Bayi anda akan makan apabila dia memerlukan, yang penting ialah anda mengetahui kiu atau petanda yang diberinya dan bertindak balas secara yang sesuai. Pastikan anda tidak memberikan susu secara automatik setiap kali bayi anda menangis - lama-kelamaan anda akan dapat membaca perlakuannya dan mula mengetahui sama ada dia lapar atau hanya memerlukan perhatian.
 

Apabila Bayi Sembelit


Bagaimanakah saya tahu bahawa bayi saya sembelit?

Sembelit jarang berlaku pada bayi yang masih kecil, terutamanya yang masih menyusu badan walaupun mungkin ia menjadi masalah kepada bayi yang lebih berusia apabila dia mula makan makanan pejal

Bayi-bayi yang diberi susu ibu akan membuang air besar beberapa kali sehari dalam beberapa minggu pertama dan kemudian hanya satu atau dua kali sepanjang minggu. Walaupun najisnya lembut atau cair, kadang-kala semua bayi perlu meneran untuk mengeluarkannya. Malah, anda akan sedar akan kerut dan dengus bayi anda apabila dia sedang membuang air besar. 

Bayi-bayi yang diberikan susu formula akan membuang air besar sekali sehari, walaupun sesetengahnya mungkin akan membuang air besar sekali dalam setiap tiga atau empat hari. Ini bukanlah perkara yang tidak normal, kecuali jika najisnya keras dan berketul-ketul. Sembelit berlaku apabila najis di bahagian bawah usus ditekan oleh otot yang menjerut, yang akan melambatkan pengeluarannya dan semakin lama ia di situ, ia akan menjadi lebih keras dan kering. 

Sebelum mengesyaki sembelit, anda perlu mengenali simptom-simptom yang tercatat di bawah dan anda harus faham bahawa bayi, sama seperti orang dewasa, akan mempunyai pola membuang air besar yang bertukar-tukar. 

Apakah simptom-simptom sembelit?

Bagi bayi yang berusia 0-3 bulan, sembelit jarang berlaku, walaupun bayi anda diberikan susu formula. Sesetengah bayi akan mendengus dan meneran pada setiap pergerakan, walaupun tidak semestinya disebabkan sembelit. Tetapi, jika bayi anda menangis dan kelihatan tidak selesa, periksalah dengan pakar pediatrik anda. Jika bayi anda mengeluarkan najis pejal kurang daripada sekali sehari, ini biasanya adalah sembelit. 

Bagi bayi yang lebih berusia dan sudah mula makan makanan pejal, simptom-simptomnya termasuklah: 

• Meragam, sakit abdomen dan gastrik.

• Abdomen yang keras.

• Sakit abdomen yang mengurangkan pembuangan air besar.

• Najis bercampur darah, selalunya berpunca dari luka (fisur) rektum yang disebabkan oleh najis yang keras.

• Najis yang sukar dikeluarkan dan berketul-ketul. 

Kenapakah sembelit berlaku?

Seorang bayi akan sembelit jika dia tidak mendapat cecair yang secukupnya. Jika masalah ini berlarutan, anda mesti membawanya untuk pemeriksaan; mulanya, doktor akan memastikan bahawa bayi tidak menghidapi penyakit atau sembelit itu akibat fisur dubur. 

Bagaimanakah saya boleh merawatnya?

Anda perlu bertanya dengan pakar pediatrik anda sebelum mencuba apa-apa untuk melegakan keadaan bayi anda. Anda akan diminta membawanya untuk pemeriksaan. 

Bagi bayi yang lebih berusia yang makan makanan pejal, tanya doktor anda sama ada sesuai jika ditambah beberapa sudu buah prun yang dipurikan ke dalam makanan paginya atau diberikan dua sudu jus prun. 

Sesetengah pakar menyarankan supaya menambah satu sudu teh bijian bran ke dalam bijiran bayi anda untuk menambahkan serat, tetapi jangan terlebih tambah. Cuba berikan bayi anda buah-buahan dan sayur-sayuran (tetapi dengan sedikit-sedikit sahaja) supaya dia mendapat serat secukupnya dan juga mendapat minuman air yang banyak, termasuk air kosong. 

Cara-cara berikut juga boleh membantu: 

• Cuba gerakkan kaki bayi anda jika dia sembelit. Ini akan membantu menggerakkan najis di dalam ususnya.

• Jika dia makan makanan pejal, kurangkan makanan penyebab sembelit seperti nasi, pisang atau bijiran. 

Sembelit pada bayi adalah perkara biasa, terutamanya apabila mereka mula makan makanan pejal sebab badan mereka baru belajar bagaimana menguruskan makanan baru. Dengan perhatian anda dan rawatan yang baik, lama-kelamaan, dia akan membuang air besar dengan lebih mudah dan tetap.
 

Pertumbuhan gigi Bayi


Pertumbuhan gigi

Pertumbuhan gigi bukan suatu tahap perkembangan yang dicapai oleh bayi sekaligus. Peralihan dari senyuman bergusi ke sebuah mulut penuh dengan gigi adalah perjalanan yang akan mengambil masa tiga tahun pertama anak anda. 

Perjalanan itu bermula dari dalam rahim lagi. Ketika anda mengandung, kudup gigi bayi anda telah berkembang. Ini ialah asas bagi gigi bayi (juga dikenali sebagai gigi susu). Kudup-kudup itu akan menembusi permukaan gusi di antara usia tiga bulan dan 12 bulan. 

Kemunculan gigi pertama adalah tanda yang menunjukkan bayi anda sedang membesar. Anda biasanya akan melihat gigi pertamanya pada sekitar usia enam bulan. Ketika ini jugalah biasanya diet si kecil mula merangkumi makanan pejal. 

Apabila dia mencapai usia tiga tahun, dia sudah ada mulut yang dipenuhi gigi yang dia boleh berus (dengan sedikit bantuan daripada anda) – satu langkah asas ke alam penjagaan diri. 

Bila ia berkembang

Satu daripada 2,000 bayi dilahirkan dengan sebatang gigi atau dua! Tetapi majoriti bayi tumbuh gigi pertama mereka pada usia enam atau tujuh bulan. Bagi bayi yang cepat tumbuh gigi, puncak putih (biasanya gigi kacip atau insisor tengah yang terletak di rahang bawah) akan muncul seawal bulan ketiga, sementara bayi yang lambat pertumbuhan gigi mungkin perlu tunggu sehingga dia berusia hampir setahun. 

Gigi yang terakhir (gigi geraham kedua, terdapat di bahagian dalam rahang atas dan bawah) biasanya sudah tumbuh menjelang tahun kedua. 

Pada usia tiga tahun, anak anda sepatutnya sudah memiliki set lengkap 20 gigi bayi. 

Bagaimana ia berkembang

Untuk kebanyakan bayi dan ibu bapa, ketibaan gigi pertama tidak menyeronokkan, dan ia boleh menjadi proses yang panjang. Simptom awalnya termasuk air liur meleleh yang berlebihan dan kesakitan yang agak teruk. Ini selalunya bermula selama sebulan atau dua bulan sebelum kemunculan gigi tersebut. 

Anda mungkin terpaksa berjaga malam untuk menenangkan seorang kanak-kanak yang sedang menunggu giginya menembusi gusi. Untuk mengurangkan kesengsaraannya, bayi anda akan mula menggigit, tetapi bukan kerana marah atau bersikap ganas. Berikanlah sesuatu untuk digigitnya atau gosok gusinya dengan jari anda untuk membantunya mengurangkan kesakitan. 

Gusi boleh menjadi bengkak apabila gigi hendak muncul dan ini akan menyebabkan pipi anak anda kelihatan lebih besar. Walaupun sesetengah ibu bapa mendakwa bahawa anak mereka akan demam atau cirit-birit semasa gigi hendak muncul, kebanyakan pakar setuju bahawa pertumbuhan gigi tidak mengakibatkan penyakit. Barangkali anak anda sedang menghidap demam selesema, flu atau ada masalah sakit perut, jadi bawalah dia berjumpa dengan doktor. 

Untuk mereka yang bernasib baik, pertumbuhan gigi adalah proses pengubahsuaian mulut yang tidak menyakitkan. Satu minggu bayi anda tersengih tanpa gigi, dan minggu yang satu lagi ternampak puncak putih bergerigis pada permukaan gusinya. Raikanlah gigi pertamanya dengan menangkap banyak gambar, dan catatkan tarikh ketibaannya di dalam buku bayi anda. 

Gigi tumbuh dengan berturut-turut, mula-mula yang di depan sebelah bawah, kemudian yang di tengah sebelah atas, diikuti yang di tepi dan belakang. Pertumbuhan gigi adalah mengikut keturunan, jadi jika anda mendapat gigi anda awal, barangkali anak anda akan sama juga. 

Apakah perkembangan seterusnya?

Gigi bayi tidak akan tercabut sehingga gigi tetap anak anda sudah bersedia untuk tumbuh, iaitu sekitar usia enam tahun. 

Bagaimana anda boleh membantu

Anda tidak dapat lakukan apa-apa untuk membuat gigi muncul, tetapi anda boleh menolong mengurangkan kesakitannya bila proses itu bermula. Pertama, beri anak anda sesuatu untuk dikunyah, seperti gegelang gigit yang disimpan dalam peti sejuk. Dia juga boleh mendapatkan sedikit kelegaan dari memakan makanan sejuk, seperti puri epal atau yogurt, terus dari peti sejuk. 

Jika bayi anda benar-benar dalam kesakitan, anda boleh berikan paracetamol kanak-kanak dalam dos yang ditetapkan. Jika anak anda demam, atau tidak dapat ditenangkan, jumpa doktor anda – dia mungkin menghidap jangkitan telinga atau penyakit lain. 

Apabila giginya sudah tumbuh, terpulanglah pada anda untuk memastikan kebersihannya. Untuk tahun yang pertama, anda tidak perlu betul-betul memberus giginya, tetapi cubalah bersihkannya sekurang-kurangnya sekali sehari, mungkin sebagai sebahagian daripada rutin waktu tidurnya. Anak anda mungkin tidak suka berus dimasukkan ke dalam mulutnya, sebaliknya lapkan gusi dan giginya dengan mengunakan kain bersih sahaja. 

Anda juga tidak harus menidurkan anak anda dengan botol susu. Susu tepung dan susu badan boleh mengumpul di dalam mulut bayi anda waktu tidur dan mengakibatkan penyakit yang dikenali sebagai kerosakan gigi botol bayi. 

Semak dengan doktor atau doktor gigi sama ada anda perlu memberikan anak anda fluorida (titis pembasmi kaviti ini hanya diperlukan jika anda tinggal di kawasan yang sumber airnya tidak ditambahkan fluorida). 

Pada sekitar usia 18 bulan, anak anda mungkin sudah bersedia untuk belajar memberus giginya sendiri. Anda harus menolong dan memeriksa sama ada dia telah memberus dengan berkesan untuk beberapa tahun lagi, tetapi ini adalah kebiasaan yang baik untuk dimulakan. Tunjukkan cara untuk menggerakkan berus pada giginya. Gunakan berus yang lembut dan setitik sahaja ubat gigi. Anda tidak perlu memberus mengikut sesuatu arah yang tertentu, hanya perlu keluarkan cebisan makanan dan bersihkan permukaan gigi dan gusi. 

Jika anak anda tidak suka pada rasa ubat gigi, cubalah jenama yang lain, ataupun lupakannya sama sekali. Anda tidak memerlukan ubat gigi kecuali jika diet anak anda mengandungi banyak makanan bergula – yang anda harus elakkan juga. Jika dia ada menikmati gula-gula, misalnya semasa di majlis hari jadi, pastikan dia memberus giginya sejurus selepas makan, atau galakan dia mengakhiri hidangannya dengan makanan masin seperti sekeping keju. 

Sekitar hari jadinya yang ketiga, buat temu janji dengan doktor gigi anda supaya anak anda dapat membiasakan diri dengan proses pemeriksaan gigi. 

Bila anda harus bimbang

Bayi pramatang mungkin akan mendapat gigi mereka lewat beberapa bulan. Jika anda masih tidak nampak sebarang tanda kemunculan gigi pada penghujung tahun pertamanya, bangkitkan perkara ini semasa pemeriksaan doktor yang akan datang. 

Jika anak anda ada semua tanda-tanda pertumbuhan gigi – air liur meleleh, gusi bengkak – tetapi kelihatan dalam kesakitan yang melampau (tangisan yang tidak dapat diredakan adalah petunjuk yang utama), jumpa doktor anda. Pertumbuhan gigi tidak harus menyiksakan seorang bayi.
 

Najis Bayi Anda Normal Atau Tidak?


Apakah yang normal?

Sebagai ibu, agak menakjubkan berapa banyak masa yang kita habiskan untuk memeriksa najis bayi kita dalam usaha untuk menentukan sama ada kekerapan, warna dan kepejalan najis itu normal ataupun tidak. Sebenarnya, apa yang normal bagi bayi anda bergantung kepada usia bayi, sama ada dia menyusu badan atau diberikan susu formula, dan sama ada dia sudah mula makan makanan pejal. Najis bayi anda akan sentiasa berubah mengikut pembesarannya, bermula daripada dia baru dilahirkan hinggalah ke penghujung tahun pertama usianya. Sepanjang tempoh itu anda akan lebih faham tentang apa yang normal baginya.

Tiada kekerapan membuang air besar yang boleh dikatakan tepat dan berapa kalikah yang dikira paling baik. Bagi bayi yang baru dilahirkan, ini bergantung kepada sama ada dia menyusu badan atau diberi susu formula. Bayi yang menyusu badan tanpa memakan makanan pejal akan membuang air besar lebih kurang empat kali sehari; namun, membuang air besar sekali dalam tiga hari juga dianggap normal dan anda tidak perlu risau mengenai kekerapannya selagi najis bayi lembut dan mudah keluar. Bayi yang menyusu formula selalunya perlu membuang air besar setiap hari untuk mengelakkan sembelit.

Najis bayi anda akan sentiasa berubah dari segi kepejalan dan warna, daripada lembut dan berwarna kuning cair kepada warna kuning dengan tompok-tompok hijau, dan seterusnya berubah lagi pada keesokan harinya. Ini adalah normal.

Apa yang akan dibuang oleh bayi saya yang baru lahir?

Untuk beberapa hari pertama selepas dilahirkan, bayi anda akan membuang najis yang dipanggil mekonium. Ini merupakan bahan melekit berwarna hitam kehijauan yang terkumpul dalam usus bayi semasa dalam rahim dan komposisinya ialah hempedu, mukus, sel dari dinding usus, rembesan dan cecair amnion. Walaupun kotoran ini sukar ditanggalkan, mekonium adalah petanda bahawa usus bayi anda berfungsi dengan baik.

Selepas satu atau dua hari, apabila penyusuan menjadi kebiasaan dan semua mekonium telah dikeluarkan, warna najis akan menjadi hijau kecoklatan, lembut dan berbiji sebelum menjadi lebih kekuningan.

Bagaimanakah rupa najis bayi saya jika saya memberinya susu badan?

Najis bayi yang menyusu badan dan bayi yang diberikan susu formula adalah berbeza. Kolostrum dari "susu pertama" anda bertindak sebagai julap yang membantu menolak mekonium keluar daripada badan bayi anda. Setelah anda mula menghasilkan susu dengan sempurna, iaitu selepas kira-kira tiga hari, najis bayi anda akan berubah menjadi kuning cerah seperti biji sawi dan baunya kemanis-manisan. Najis itu agak lembik tetapi bertekstur, kadang-kala kelihatan berbiji-biji atau kelihatan berketul seperti susu masam.

Pada minggu-minggu terawal, bayi anda akan membuang air besar semasa atau selepas setiap kali menyusu, tetapi ini akan berkurangan dan dia akan mempunyai rutinnya sendiri, selalunya membuang air besar pada masa yang sama setiap hari. Rutin ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi, contohnya, rutin akan bertukar apabila anda mula memberinya makanan pejal, apabila bayi kurang sihat, atau jika dia mula kurang menyusu.

Bagaimanakah rupa najis bayi saya jika saya memberinya susu formula?

Jika bayi anda meminum susu formula, najisnya akan berwarna kuning pucat atau coklat kekuningan, dan sisa susu formula akan menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terbentuk berbanding najis bayi yang diberikan susu badan. Ini kerana susu formula tidak dapat dicernakan sepenuhnya berbanding susu badan. Baunya juga lebih kuat, seakan-akan najis orang dewasa.

Lazimnya, bayi yang diberikan susu formula perlu membuang air besar sekali sehari untuk merasa selesa kerana najisnya lebih besar. Lebih lama najis berada dalam usus, lebih keras ia akan jadi dan lebih sukar untuk dikeluarkan sehingga boleh menyebabkan sembelit. Bincanglah dengan pakar pediatrik anda jika anda rasa bayi anda mempunyai masalah ini.

Jika kami bertukar dari susu badan ke susu formula, bagaimanakah kesannya ke atas najis bayi saya?

Jika anda bertukar dari susu badan ke susu formula, adalah penting bagi anda melakukannya secara perlahan-lahan, iaitu, biarlah pertukaran ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu. Ini akan memberikan masa bagi sistem perncernaan bayi anda membuat penyesuaian dan mengelakkan sembelit. Dan bagi diri anda pula, ini dapat mengurangkan risiko buah dada bengkak dan sakit. Sebaik sahaja bayi anda dapat menyesuaikan diri dengan susu formula, cara dia membuang air besar akan bertukar lagi!

Apakah kesannya apabila bayi saya sudah mula memakan makanan pejal?

Perubahan terbesar pada najis bayi anda akan berlaku apabila anda mula memberikannya makanan pejal. Ketika ini, najis sudah tidak mudah dibersihkan dan tidak berbau manis seperti dulu. Dengan makanan pejal, apa yang masuk akan keluar dalam bentuk yang agak sama. Maksudnya, apabila anda memberinya lobak merah lenyek, kandungan lampin bayi akan berwarna jingga cerah.

Begitu juga apabila bayi anda mula memakan pelbagai jenis makanan, najisnya akan menjadi lebih pekat, gelap dan berbau! Makanan yang lebih bertekstur, iaitu makanan yang kaya dengan serat seperti kismis dan kacang panggang susah untuk dicerna, sehinggalah satu masa kelak apabila sistem pencernaan bayi menjadi matang secukupnya dan dapat mencerna dengan sempurna.

Apa yang tidak normal?

Cirit-birit
Simptom-simptom cirit-birit termasuklah najis yang sangat cair dan kadang-kala dalam jumlah yang lebih banyak dan lebih kerap, dan ia akan memancut keluar dari punggung bayi anda. Bayi yang diberikan susu badan kurang cenderung menghidap cirit-birit kerana susu badan membantu merencatkan mikroorganisma yang menjadi puncanya.

Bayi yang diberikan susu formula lebih cenderung mendapat jangkitan. Oleh itu adalah penting bagi anda mensterilkan peralatan dan mencuci tangan anda sekerap mungkin. Punca cirit-birit termasuk salah satu daripada yang berikut: jangkitan seperti gastroenteritis, mengambil terlalu banyak buah-buahan atau jus, mula tumbuh gigi, pengambilan ubat, kesensitifan atau alahan terhadap sesuatu makanan.

Cirit-birit biasanya sembuh tanpa rawatan dalam masa 24 jam, tetapi jika tidak, dapatkan pemeriksaan doktor. Para ibu selalunya beranggapan bahawa puncanya ialah susu formula bayi, tetapi sebelum menukar kepada jenama lain, bincanglah dengan doktor anda untuk memastikan tidak terdapat sebarang punca lain.

Sembelit
Sembelit bukan setakat bayi anda terpaksa meneran semasa membuang air besar sehingga merah seluruh mukanya. Simptom-simptomnya termasuklah kesukaran membuang air besar dan najis yang berbentuk seperti batu-batu kecil yang kering, sakit perut, kejengkelan, dan kadang-kala terdapat darah pada najis yang mungkin disebabkan oleh rekahan pada dubur akibat pengeluaran najis yang keras. Bayi yang diberi susu badan jarang mengalami masalah ini berbanding bayi yang diberi susu formula kerana susu ibu mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk mengekalkan kelembutan najis.

Jika bayi anda mengalami sembelit, bawalah dia berjumpa doktor, terutamanya jika terdapat darah dalam najis, supaya dapat diketahui puncanya. Bagi bayi yang sudah mengambil makanan pejal, mungkin doktor akan menasihatkan anda supaya meningkatkan jumlah cecair dan serat dalam dietnya. Ini boleh dilakukan dengan memberikannya buah prun atau aprikot yang dikisar.

Najis hijau
Jika najis bayi anda berwarna hijau dan berbuih, besar kemungkinan bayi mengambil terlalu banyak laktosa (gula asli yang terdapat dalam susu) yang boleh berlaku jika dia kerap menyusu tetapi tidak mendapat susu yang lemak yang boleh mengenyangkan. Ia juga mungkin disebabkan terlebih penyusuan atau kurang penyusuan, atau ia adalah tanda bahawa terdapat kuman dalam perut bayi anda.

Pastikan bayi anda habis menghisap susu daripada sebelah payudara sebelum beralih ke payudara yang satu lagi. Jika sakit perutnya masih tidak sembuh dalam masa 24 jam, berundinglah dengan doktor anda untuk cuba mencari punca masalahnya kerana ia mungkin disebabkan oleh kesensitifan terhadap makanan, atau ubat yang diambilnya, ataupun rutin penyusuan.

Palitan darah
Palitan darah dalam najis bayi anda akan berlaku jika dia sembelit kerana proses peneranan semasa membuang air besar boleh menyebabkan rekahan pada dubur. Namun begitu, elok jika anda mendapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan ini adalah sebab sebenar dan tiada sebab-sebab lain.

Berpantang selepas bersalin

Betapa pahit dan manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Walaupun tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran, boleh dikatakan sebilangan besar wanita Melayu masih tekun dan rela mengikut tradisi ini. Dikatakan wanita yang rajin berpantang dijamin akan mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu mengekal minat suami. 

Sesungguhnya, amalan-amalan pantang adalah satu proses menyeluruh, bertujuan untuk memeliharakan kesihatan dan kewanitaan perempuan Melayu. Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, kepercayaan berpantang berpaksikan kepada penyembuhan rahim yang dikatakan merupakan "penyawa" wanita yang menentukan kesihatan diri keseluruhan. Rahim yang sihat menghasilkan ibu yang kelihatan berseri dan menarik pada pandangan. Tidak hairanlah jika wanita Melayu masih berpegang kepada amalan berpantang. 

Disamping itu, ada kajian moden yang menyokong peranan yang dimainkan oleh bidan kampung yang mendamping ibu selepas bersalin. Kajian juga mendapati yang beberapa amalan pantang-larang ada kebaikannya. Antaranya, perlanjutan tempoh penyusuan ibu, larangan atas pergerakan ibu yang berlebihan dan urut-mengurut. 

Pakar-pakar antropologi menerangkan bahawa asas amalan pantang-larang kaum Melayu berlandaskan teori empat elemen berkurun dahulu. Elemen-elemen itu ialah:
  • tanah, yang bersifat kering;
  • api, bersifat panas;
  • udara, sejuk;
  • dan, air, bersifat basah.
Elemen-elemen ini mestilah berada dalam keadaan seimbang pada badan seseorang. 

Ilmu perbidanan juga dikatakan satu anugerah Tuhan bagi individu dan keluarga yang terpilih sahaja, dengan tujuan supaya mereka membantu wanita dari semua lapisan masyarakat. Bidan kampung dianugerahkannya bagi membantu wanita desa. 

Kini, wanita Melayu di bandar tidak dapat melakukan kesemua pantang-larang sebab tiada keluarga dan masyarakat keliling untuk menyokong seperti kehidupan masyarakat di kampung dahulu. Mengikut tradisi, ibu baru akan dibantu dan ditemani oleh:
  • bidan kampung;
  • pengasuh khusus;
  • emak sendiri atau ibu mertua.
Memang diakui bahawa tanpa orang lain membantu, ia akan sukar untuk mengamalkan pantang dengan lengkap dan sempurna selama 44 hari. 

Namun begitu, beberapa amalan utama masih banyak dipraktikkan oleh wanita Melayu. Baca lebih lanjut mengenai:
  • Bengkung
  • Urut-mengurut
  • Jamu
  • Bertungku
  • Mandi-mandian herba dan akar kayu, serta amalan-amalan lain

Ujian kehamilan di rumah

Ujian kehamilan di rumah mengesan kehadiran hormon kehamilan iaitu human chorionic gonadotrophin (hCG) dalam air kencing anda. Badan anda mula menghasilkan hCG apabila telur yang telah disenyawakan melekat (implantasi) pada uterus (rahim) anda. HCG dirembeskan oleh sel-sel yang akan membentuk plasenta (uri). Ia boleh dikesan dalam air kencing anda daripada kira-kira enam hingga 14 hari selepas persenyawaan berlaku. 

Dalam masa beberapa hari selepas implantasi, tahap hCG anda akan meningkat dengan cepat. Kebanyakan alat penguji kehamilan cukup sensitif untuk mengesan hCG dalam air kencing pada hari pertama haid anda sepatutnya datang. 

Jika anda mendapat keputusan negatif pada kali pertama membuat ujian, ini mungkin kerana jumlah hCG belum mencecah tahap di mana ia boleh dikesan. Kadang-kadang tahapnya belum cukup tinggi untuk dikesan pada hari pertama haid anda sepatutnya tiba. Jika haid anda lewat dan keputusan yang anda perolehi negatif, tunggu beberapa hari kemudian uji lagi. 

Anda akan dapati sesetengah alat penguji kehamilan lebih sensitif daripada yang lain. Alat penguji yang paling sensitif boleh menunjukkan anda hamil walaupun jika terdapat sedikit sahaja hCG dalam badan anda. 

Anda boleh mengetahui berapa sensitif alat penguji kehamilan itu dengan membaca maklumat yang ada pada kotaknya. Anda akan dapati bahawa konsentrasi hCG diukur dalam unit mili-Internasional (mIU) per mililiter. Alat penguji dengan kesensitifan 20 mIU/ml adalah lebih sensitif daripada yang berkesensitifan 50 mIU/ml. 

Bilakah saya patut membuat ujian?

Kebanyakan alat penguji boleh menunjukkan samada anda hamil atau tidak pada hari pertama haid anda lewat. Alat penguji yang lebih sensitif mungkin boleh mengesan hCG pada tahap yang rendah beberapa hari sebelum haid anda dijadualkan tiba. Walau bagaimanapun, membuat ujian seawal ini mungkin tidak memberikan anda keputusan yang tepat (lihat di bawah). 

Bergantung kepada alat penguji yang anda gunakan, anda boleh membuat ujian pada bila-bila masa sepanjang hari. Cuba jangan minum terlalu banyak sebelum membuat ujian kerana ini boleh mencairkan hCG dalam air kencing anda. 

Sesetengah alat penguji mencadangkan anda membuat ujian pada waktu pagi, apabila anda pergi ke tandas untuk kali pertama pada hari itu. Ini terutamanya jika anda menguji pada hari-hari yang awal. Ini kerana, tahap hCG menjadi lebih pekat dalam air kencing semasa anda tidur pada waktu malam, oleh itu ia lebih mudah dikesan dalam air kencing pertama anda. 

Jika haid anda tidak teratur, mungkin sukar untuk mengenalpasti bilakah haid anda sepatutnya tiba. Sebagai panduan, anda boleh gunakan kitaran yang paling panjang dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebelum membuat ujian. 

Jika anda baru berhenti mengambil pil perancang, anda mungkin tidak tahu berapa panjangkah kitaran haid anda secara semula jadinya, dan mungkin membuat ujian samada terlalu awal atau terlalu lewat. Jika ujian anda negatif, anda patut membuat ujian lagi dalam masa tiga hari. 

Bagaimanakah cara menggunakan alat penguji kehamilan di rumah?

Mula-mula, baca arahan dengan cermat, kerana setiap jenama mempunyai arahan yang berlainan. 

Bagi kebanyakan alat penguji, caranya semudah kencing pada kayu penguji itu. Sesetengah yang lain pula memerlukan anda mengumpul air kencing dalam cawan kecil dan kemudian mencelupkan alat penguji itu ke dalamnya. Atau, anda mungkin diberi alat penitik yang digunakan untuk menitikkan sedikit sampel air kencing ke atas alat penguji. 

Bagaimana keputusan ujian ditunjukkan juga berlainan. Sesetengah alat penguji menunjukkan garisan merah jambu atau biru. Sesetengah yang lain pula menunjukkan tanda campur atau tolak, atau menukar warna sampel air kencing anda. Ujian digital pula memaparkan perkataan "pregnant" (hamil) atau "not pregnant" (tidak hamil) pada satu tingkap, dan ada juga yang memberi anggaran sudah berapa minggu anda hamil. 

Berapa lamakah masa diambil untuk mendapat keputusannya?

Periksa arahan yang disertakan dengan alat penguji anda. Tetapi biasanya keputusan dapat dilihat dalam masa tiga hingga lima minit, walaupun ia mungkin terasa seperti satu penantian yang terlalu panjang. 

Jika anda membuat ujian itu dalam tandas, anda mungkin mahu pergi ke bahagian lain dalam rumah dan mencari sesuatu untuk dibuat bagi mengalihkan perhatian. Bak kata pujangga, penantian itu satu penyiksaan! 

Adakah ujian kehamilan di rumah tepat?

Alat penguji kehamilan di rumah adalah tepat jika anda ikut arahan dengan betul. Seperti yang dinyatakan tadi, sesetengah alat penguji lebih sensitif, serta mudah digunakan dan ditafsirkan berbanding yang lain. 

Adakah keputusan negatif palsu boleh berlaku? 

Ada beberapa sebab mengapa ujian kehamilan anda menunjukkan negatif. Anda mungkin tidak hamil, atau mungkin tahap hCG anda belum mencukupi untuk dikesan melalui ujian air kencing. 

Jika anda membuat ujian terlalu awal, sebelum hari pertama haid anda lewat, anda mungkin mendapat keputusan negatif palsu kerana hormon yang dikeluarkan oleh badan anda belum mencukupi. 

Jika anda mendapat keputusan negatif tetapi masih berpendapat anda hamil, tunggu sekurang-kurangnya tiga hari, dan buatlah ujian semula. 

Adakah keputusan positif palsu boleh berlaku? 

Positif palsu, iaitu di mana keputusan ujian menunjukkan anda hamil tetapi sebenarnya tidak, adalah jarang tetapi tidak mustahil berlaku. Sesetengah ubat-ubatan seperti pil kesuburan yang mengandungi hCG, mungkin menjejaskan keputusan ujian. (Ubat-ubat biasa yang boleh dibeli di kaunter seperti paracetamol, tidak menjejaskan.) 

Kadang-kala anda boleh mendapat garisan samar yang boleh jadi sukar untuk ditafsirkan. Ketahui apa mungkin maksudnya

Di manakah saya boleh beli alat penguji kehamilan?

Anda boleh beli alat penguji kehamilan di kebanyakan farmasi dan supermarket. Anda juga boleh membelinya dalam talian. Anda tidak perlukan surat doktor untuk membelinya. 

Apakah beza ujian kehamilan di rumah dengan yang dijalankan oleh doktor?

Ramai doktor yang menggunakan alat penguji kehamilan di rumah untuk memastikan kehamilan, maka dalam hal ini kedua-duanya adalah sama. 

Kadang-kala, wanita diberi ujian darah, yang turut menguji kehadiran hCG. Ujian darah lebih sensitif daripada ujian air kencing. Ia boleh menunjukkan samada anda hamil atau tidak sebaik sahaja telur yang telah disenyawakan melekat. Ini boleh jadi seawal enam hari selepas anda berovulasi. 

Anda boleh membuat ujian darah untuk lebih tahu mengenai apa yang sedang berlaku pada awal kehamilan (sebelum imbasan ultrabunyi boleh mengesan kehamilan). Ia boleh membantu mengesan kehamilan ektopik atau kehamilan molar. Ia juga satu cara yang baik untuk mengetahui bahawa tahap hCG meningkat seperti sepatutnya bagi kehamilan yang sihat. 

Anda boleh mendapatkan ujian darah di klinik doktor anda atau di hospital. 

http://www.babycenter.com.my/a1052241/ujian-kehamilan-di-rumah#ixzz2Im99Duo8

10 tanda penting kehamilan

Jika anda sangat peka dengan sebarang perubahan dalam badan anda, anda mungkin mula menjangka anda hamil tidak lama selepas persenyawaan. Tetapi kebanyakan wanita tidak mengalami sebarang simptom awal kehamilan sehingga telur yang telah disenyawakan melekat pada dinding uterus, beberapa hari selepas persenyawaan. 

Sesetengah yang lain pula tidak perasan sebarang tanda kehamilan selama beberapa minggu dan mula tertanya-tanya "Adakah saya hamil?" hanya apabila mereka tidak datang haid. Berikut ialah senarai beberapa tanda awal kehamilan. Anda mungkin mengalami kesemuanya, sesetengah daripadanya, atau tiada langsung simptom-simptom kehamilan ini. 

1. Mengidam 
Ya, bunyinya seperti klise, tetapi mengidam kadang kala boleh jadi satu tanda kehamilan. Janganlah bergantung kepadanya sebagai simptom yang pasti (ia mungkin hanya di kepala anda, atau mungkin juga tanda bahawa badan anda kekurangan nutrien tertentu), tetapi jika mengidam itu diikuti dengan beberapa simptom lain dalam senarai ini, mulalah mengira hari daripada hari pertama haid terakhir anda. 

Ketahui lebih lanjut mengenai apa yang diidamkan wanita semasa hamil dan apakah tandanya

2. Warna areola menjadi gelap 
Jika kulit di sekeliling puting payudara anda menjadi lebih gelap, ini mungkin bermakna proses persenyawaan telah berjaya. Walau bagaimanapun, ini mungkin juga tanda ketidakseimbangan hormon yang tidak berkaitan dengan kehamilan, ataupun bekas daripada kesan kehamilan terdahulu. 

3. Pendarahan atau kekejangan akibat implantasi 
Kira-kira lapan hari selepas ovulasi, anda mungkin mengalami pendarahan implantasi, iaitu terdapat tompok-tompok darah berwarna merah jambu atau coklat, serta sedikit kekejangan. Ini disebabkan telur membenam masuk ke dalam lapisan endometrium. Anda juga mungkin mengalami keadaan yang sama menjelang kedatangan haid anda. 

4. Kerap membuang air kecil 
Sebaik sahaja embrio melekat dan mula menghasilkan hormon human chorionic gonadotropin (hCG), anda mungkin mendapati anda perlu membuang air kecil lebih kerap

5. Keletihan 
Berasa letih? Bagaimana kalau sangat letih? Tahap hormon progesteron yang tinggi boleh membuatkan anda berasa seperti baru selesai berlari maraton sedangkan anda hanya bekerja seharian di pejabat. Keletihan adalah tanda penting awal kehamilan, walaupun ia mungkin bukanlah simptom yang pasti tanpa kehadiran simptom-simptom lain. 

6. Payudara melembut dan membengkak 
Sebelum kedatangan haid, payudara anda mungkin menjadi begitu sensitif terhadap sentuhan, dan jika anda hamil, perkara yang serupa akan berlaku, tetapi pada tahap yang lebih sedikit. Apabila badan anda telah biasa dengan peningkatan hormon ini, kesakitan akan hilang. 

Baca lebih lanjut mengenai payudara sakit

7. Deria rasa berubah 
Anda mungkin perasan perubahan pada deria rasa anda. Sesetengah wanita mengatakan mereka merasa sedikit payau di mulut, dan sesetengah yang lain mengatakan mereka tidak dapat tahan rasa kopi, teh atau makanan yang biasanya mereka suka. 

8. Mabuk hamil pagi 
Jika anda bernasib baik, anda tidak akan mengalami mabuk hamil pagi (morning sickness) sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan. (Sesetengah wanita yang sangat bertuah tidak mengalaminya langsung.) Tetapi seawal dua hari selepas persenyawaan, anda mungkin mula berasa loya dan tidak sedap perut. Dan ini bukan sahaja berlaku pada waktu pagi. Loya akibat kehamilan boleh jadi berlaku pagi, petang atau malam. 

Baca lebih lanjut mengenai cara menangani loya dan muntah semasa hamil

9. Tidak datang haid 
Jika haid anda biasanya teratur dan kini ia lambat, elok juga jika anda buat ujian kehamilan. Tidak datang haid ialah tanda kehamilan yang paling pasti bagi seorang wanita yang telah baligh dan yang mempunyai kitaran haid yang teratur. 

Dan akhir sekali... 

10. Ujian kehamilan yang positif 
Jika anda telah menunggu untuk membuat ujian kehamilan sekurang-kurangnya sehingga hari pertama anda tidak datang haid dan garisan biru kelihatan dalam kotak alat penguji, anda sangat pasti akan menjadi seorang ibu. Buatlah temu janji dengan doktor anda untuk memastikan berita baik ini, dan tuju terus ke bahagian kehamilan kami. Tahniah! 

Tidak dapat bertahan dengan pening dan loya? Turut sertalah dalam komuniti kami dan lihat apa kata ibu-ibu lain. 

http://www.babycenter.com.my/a1051306/10-tanda-penting-kehamilan#ixzz2Im8w5W14

Pergerakan bayi anda semasa kehamilan


Bilakah pertama kita merasakan pergerakan bayi 

Sensasi pergerakan lemah lembut bayi yang dirasai pada peringkat awal kehamilan merupakan satu saat yang amat penting bagi anda. Dan apabila pergerakan lemah ini berubah menjadi tendangan-tendangan kuat, anda akan pasti bahawa kehamilan anda berkembang dengan sempurna. 

Jika anda sedang hamil buat kali pertama, anda mungkin tidak akan menyedari bila masanya bayi anda mula bergerak, sebab anda belum pernah mengalami sensasi pergerakan tersebut. Sebenarnya, ramai wanita menyatakan bahawa pergerakan awal itu menyerupai denyutan yang lembut dan halus. 

Bagi kehamilan pertama, anda mungkin mula menyedari pergerakan ini antara minggu ke-18 dan minggu ke-20. Bagi kehamilan seterusnya, di mana anda sudah dapat mengenali petanda tertentu, pergerakan ini akan disedari lebih awal lagi, iaitu antara minggu ke-15 dan minggu ke-18. 

Apakah yang bayi buat didalam kandungan?

Sebaik saja pergerakan awal dirasai, yang dikatakan seakan-akan kupu-kupu mengibaskan sayap, anda akan mula sedar bahawa sensasi tersebut menjadi lebih kuat dan berlaku dengan lebih kerap. Semasa bayi anda sedang membesar, sensasi ini akan berubah dari semasa ke semasa sehinggakan anda mengalami tendangan dan pukulan yang semakin hebat apabila kehamilan anda semakin maju dan matang. 

Bayi anda tidak akan menendang dan bergerak sepanjang masa sebab, seperti kita juga, ada masa-masanya ia hanya mahu berehat dan tidur walaupun untuk 40 minit sahaja setiap kali. Tetapi, anda merasakan bahawa tempoh rehat bayi itu lebih panjang dari itu sebab anda tidak dapat merasa dan mengesan setiap pergerakan. 

Untuk makluman anda, berikut diberikan sedikit panduan tentang apa yang akan berlaku kepada bayi anda semasa ia sedang membesar dalam kandungan. 

minggu ke-20 hingga ke-24

Aktiviti bayi anda akan bertambah perlahan-lahan dari minggu ke minggu. Pada minggu ke-20, dan selama 10 minggu berikutnya, bayi anda akan melalui perkembangan yang amat giat di mana ia akan banyak menendang dan berpusing-pusing. 

minggu ke-24 hingga ke-28

Bayi anda akan mula tersedu, dan inilah sebabnya anda kadang-kala mengalami pergerakan tersentak-sentak. Sak amnion (ketuban) anda pada masa ini mengandungi cecair sebanyak 750ml yang membolehkan bayi bergerak secara bebas. 

Walaupun bayi telah lama dapat mendengar bunyi, baru sekarang anda mendapati bahawa bayi tersentak apabila mendengar bunyi-bunyian yang mengejutkan. 

Pada minggu ke-29

Bayi anda akan mula membuat pergerakan jarak kecil yang lebih mantap, disebabkan ia sekarang dalam keadaan agak terhimpit dalam rahim anda. 

Pada minggu ke-32

Pergerakan bayi anda berkemuncak pada masa ini, dan pada minggu-minggu berikut anda akan mendapati bahawa kekerapan serta jenis pergerakan semakin bertambah disebabkan bayi anda terus membesar dan menjadi lebih kuat. 

Dalam lingkungan minggu ke-36

Pada masa ini, bayi anda akan menetapkan posisinya dengan meletakkan kepala ke bawah. Ini berlaku terutama sekali bagi kehamilan pertama sebab otot-otot abdomen dan rahim anda masih kuat dan dapat mengekalkan kedudukan tersebut. 

Pergerakan utama yang anda akan rasakan adalah pukulan tangan dan kaki bayi anda, dan bayi juga akan membuat tendangan kuat dan perit terhadap tulang rusuk anda. 

Sekiranya kehamilan ini bukan yang pertama, otot abdomen anda tidak begitu kuat lagi dan oleh itu bayi anda akan sering mengubah posisinya sehingga tiba tarikh kelahiran yang dijangkakan. 

Baca lebih lanjut mengenai bagaimana tahu bila sudah tiba masa bersalin

minggu ke-36 hingga ke-40

Badan bayi mula menjadi lebih besar dan pergerakan memusing akan berkurangan. Sekiranya bayi itu menghisap jarinya dan sekiranya terlucut jari itu, anda akan merasakan pergerakan yang pantas dan perit disebabkan pergerakan kepala bayi dari kiri ke kanan dalam usahanya mencari dan mendapatkan jarinya kembali. 

Dalam tempoh dua minggu sebelum kelahiran bayi, pergerakannya semakin kurang dan kadar pembesaran bayi juga akan menurun sedikit. Ini semua adalah perkara biasa dan anda tidak perlu bimbang. 

Pergerakan dan posisi di peringkat akhir kehamilan

Pada minggu-minggu terakhir, bayi anda akan menetap dalam mangkuk pelvis anda, dan bersiap sedia untuk dilahirkan. (Sekiranya ini tidak berlaku, nasihat lanjut boleh diperolehi tentang bagaimana meletakkan bayi anda dalam posisi optimum untuk kelahiran.) 

Kepala bayi anda terasa seakan-akan sebiji tembikai yang menekan kepada lantai pelvis dan membuatkan anda agak berhati-hati semasa hendak duduk. 

Apabila kepala bayi menurun lagi ke dalam pelvis anda, anda akan terasa "ringan", disebabkan tekanan yang dahulunya berlaku di bawah tulang rusuk anda tidak begitu kuat lagi. 

Pada peringkat ini, anda tidak akan mengalami pergerakan yang dibuat oleh keseluruh badan bayi. Di sebaliknya, anda mungkin mengalami tendangan yang tidak berhenti-henti di bawah tulang rusuk samada di sebelah kiri atau kanan, yang dipengaruhi oleh posisi bayi tersebut. Jika kulit abdomen anda nipis, anda mungkin berpeluang memegang kaki bayi anda. 

Ada masa-masanya bayi anda akan diam berehat dan ada masa-masanya anda akan mengalami aktiviti bayi yang berlebihan, lazimnya pada lewat petang atau malam atau semasa anda sedang baring dan hendak tidur! 

Berapakah tendangan yang patut saya rasakan dalam satu hari?

Semasa anda sedang sibuk, anda mungkin kurang menyedari pergerakan bayi anda. Anda akan lebih menyedari pergerakan ini semasa anda sedang duduk berehat. 

Kajian aktiviti fetus menunjukkan bahawa pergerakan bayi semasa dalam rahim menunjukkan pola berjaga dan tidur yang berlainan. Tiada jumlah tendangan yang boleh dianggarkan secara purata. Namun begitu, setelah sampai ke peringkat akhir dalam kehamilan, anda mungkin sudah mengetahui dan boleh menentukan pola pergerakan bayi anda. 

Saya tidak terasa gerakan bayi saya hari ini; patutkan saya bimbang?

Jika anda sibuk melakukan sesuatu, anda mungkin tidak menyedari pergerakan bayi anda. Sekiranya anda mahukan ketenangan fikiran, ada beberapa cara untuk merangsang bayi supaya bergerak:
  • Baring secara mengiring (dengan mengampu punggung) dan jangan bergerak.
  • Angkat kaki ke atas dan relaks.
  • Halakan bunyi musik ke perut anda.
Tidak lama dahulu, wanita dinasihatkan supaya mengesan pergerakan bayi dengan menggunakan carta tendangan fetus. Anda perlu merekod berapa kali pergerakan bayi berlaku sehingga anda mendapat jumlah 10 tendangan, seelok-eloknya pada masa yang sama setiap hari. 

Walau bagaimanapun, carta seperti ini telah menjadi kurang popular disebabkan penyimpanan rekod sedemikian mudah dilupai, dan juga didapati sukar untuk memadan dan mengimbangkan pola tendangan tersebut. Ini telah menyebabkan kebimbangan di kalangan wanita berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku. 

Sebaliknya, fahamilah pola gerakan bayi anda dalam waktu anda berjaga dan sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam pola tersebut, hubungilah doktor anda dengan segera.